KUALA LUMPUR: Seorang ketua keselamatan kedai serbaneka didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, Februari lepas.

Bagaimanapun, Mathuews Anne Jerome, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Illi Mariqsa Khalizan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan salinan laporan polis palsu kepada Inspektor Khairul Hazran Mazalan dengan niat menyebabkan pegawai polis itu mengambil tindakan ke atas maklumat yang diberikan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Dang Wangi di sini pada jam 7.10 malam, 22 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Elizabeth Mai dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya mempunyai penyakit tiroid dan menanggung keluarga.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin selain menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA